global

Penyu terbesar ditemui mati

Oleh Agensi

Maluku: Penyu belimbing yang juga spesis terancam ditemui mati di pesisir pantai kampung Asilulu di Maluku tengah, Indonesia, Sabtu lalu.

Ketua Jabatan Pengurusan Maritim Maluku Kementerian Maritim dan Perikanan, Iwan Asikin mengesahkan penemuan bangkai hidupan marin itu oleh nelayan tempatan.

"Nelayan bernama Amin Mamang dan Abu Nurlily menemui penyu sepanjang 180 sentimeter dengan lebar 140 sentimeter itu.

"Tetapi haiwan itu sudah mati ketika mereka jumpa sebelum memindahkan bangkainya ke tepi pantai," katanya seperti dipetik portal The Jakarta Post.

Penyu itu dipercayai hanyut dibawa arus deras dan kemungkinan terbunuh selepas terlanggar objek keras seperti batu karang.

"Kami masih menyiasat punca sebenar kematian haiwan itu. Agensi Konservasi dan Sumber Alam Semulajadi Maluku (BKSDA) menanam bangkai penyu itu berdekatan kompleks penghuni BKSDA di Kampung Passo, Baguala di Kota Ambon.

Penyu belimbing adalah spesies penyu terbesar dunia dan reptilia keempat terbesar selepas tiga spesies buaya.

Di Indonesia, penyu belimbing adalah spesies marin dilindungi dan dikategori haiwan terancam kerana populasi yang semakin berkurangan sejak beberapa tahun lalu.

Pada hujung Disember 2019, seekor penyu belimbing seberat 213 kilogram yang naik ke daratan untuk bertelur dilapor ditangkap dan dibunuh penduduk di Sosorgadong, utara Sumatera.

Disiarkan pada: May 26, 2020 @ 3:29pm
d