global

Lepaskan ular tedung untuk bunuh isteri

Oleh AFP

New Delhi: Kerana tamakkan harta, seorang suami di India tergamak membunuh isterinya dengan menggunakan ular tedung.

Pasangan itu mempunyai seorang anak berusia setahun dikatakan berkahwin dengan mas kahwin tinggi membabitkan 100 syiling emas, kereta baharu dan wang tunai 500,000 rupee (RM28,819).

Menurut siasatan polis, suspek bimbang perceraian menyebabkan dia perlu memulangkan semula harta berkenaan sebelum memutuskan untuk membunuh saja isterinya.

Difahamkan, kakitangan bank swasta itu yang dikenali sebagai Sooraj pernah cuba membunuh isterinya sebelum ini, namun gagal.

Lelaki itu akhirnya ditahan pihak berkuasa selepas didakwa membunuh isterinya dengan melepaskan ular tedung ke dalam bilik wanita itu.

Polis Kerala mengesahkan, rekod perbualan telefon menunjukkan suspek, Sooraj ada menghubungi pengendali ular dan menonton video ular di Internet.

Jurucakap polis, Ashok Kumar berkata kepada AFP, pada Mac lalu, suspek menggunakan spesies ular berbisa Russell's Viper untuk membunuh isterinya, Uthra namun mangsa hanya cedera ringan dan dirawat dua bulan di hospital.

Katanya, awal bulan ini suspek sekali lagi melepaskan ular berbisa di bilik mereka di rumah ibu bapa wanita itu dan berpura-pura menjalani rutin harian seperti biasa.

"Sooraj duduk dalam bilik sama dengan Uthra dan berlakon seolah-olah tiada apa yang berlaku.

"Keesokkannya dia buat rutin seperti biasa sebelum mendengar ibu mertuanya menjerit selepas mendapati Uthra dipatuk ular.

"Mereka membawa wanita itu ke hospital, namun doktor memaklumkan dia sudah meninggal dunia," katanya.

Menurutnya, ibu bapa wanita itu mencurigai Sooraj apabila lelaki itu cuba mendapatkan haknya beberapa hari selepas kematian isterinya.

Disiarkan pada: May 26, 2020 @ 5:10pm
d