global

Hantar sorakan atau cemuhan guna aplikasi

Oleh AFP

Tokyo: Satu aplikasi telefon pintar dihasilkan bagi membolehkan peminat sukan untuk menghantar sorakan atau cemuhan ke stadium bagi menwujudkan suasana seperti dalam perlawanan yang dihadiri ribuan penyokong walaupun ia sebenarnya diadakan tanpa kehadiran penonton.

Pembuat instrumen, Yamaha berkata sistem sorakan jarak jauh itu membolehkan pengguna menekan butang pada aplikasi untuk sorakan atau jeritan 'boo' yang kemudiannya boleh didengari melalui deretan pembesar suara yang diletakkan bawah tanah.

Pengendali acara juga boleh membuat tetapan untuk jenis sorakan atau cemuhan bergantung kepada berapa banyak butang itu ditekan pengguna bagi menghasilkan suasana seperti ketika jaringan gol.

Walaupun penonton dibenarkan hadir ke lokasi, mereka masih boleh menggunakan aplikasi berkenaan bagi mengelakkan titisan air liur akibat jeritan sorakan.

Pada awalnya, Yamaha mahu melancarkan aplikasi itu akhir tahun ini, namun ia mempercepat pembangunannya berikutan pandemik Covid-19 yang menyebabkan banyak acara sukan dibatalkan.

Yamaha berkata, ujian terbaharu yang dilakukan di stadium dengan 51,000 tempat duduk berjaya menghasilkan bunyi yang sama seperti ia dihadiri penonton sebenar.

Ia menempatkan 58 pembesar suara di Stadium Ecopa dan menjemput pegawai dari pasukan Jubilo Iwata dan Shimizu S Pulse untuk menghantar sorakan jarak jauh.

Jurucakap Yahama, Kenji Arakawa berkata, aplikasi itu boleh digunakan untuk acara lain selain aktiviti sukan.

"Ia boleh digunakan di konsert, teater atau persembahan komedi yang memerlukan reaksi langsung penonton," katanya.

Disiarkan pada: May 27, 2020 @ 7:12pm
d