global

Lelaki tertua dunia meninggal

Oleh AFP

London: Lelaki tertua dunia, Bob Weighton meninggal dunia akibat kanser pada usianya 112 tahun, semalam.

Kematian warga emas dari Hampshire itu disahkan ahli keluarga yang menurut mereka, Weighton pergi dengan tenang ketika tidur.

"Dengan penuh dukacitanya, keluarga Weighton mengumumkan kematian kesayangan kami, Bob Weighton.

"Dia adalah contoh terbaik buat kami, dia menjalani kehidupannya dengan sentiasa berhubungan baik dengan semua orang di seluruh dunia.

"Bob juga mempunyai ramai sahabat selain suka membaca dan mengambil tahu isu politik, berbual mengenai teologi dan ekologi selain mementingkan penjagaan alam sekitar sehingga akhir hayatnya," kata keluarga itu dalam kenyataan dikeluarkan.

Weighton lahir pada 29 Mac 1908 di Yorkshire, utara England meninggalkan tiga anak, 10 cucu dan 25 cicit.

Dia diakui lelaki tertua dunia oleh Guinness World Records pada Februari lalu selepas kematian penyandang, Chitetsu Watanabe dari Jepun.

Pengiktirafan selepas kajian pakar perunding kanan gerontologi institusi itu, Robert Young.

Laporan menyebut, Weighton seorang pesara guru dan jurutera, ketika hayatnya merasai zaman perang dunia dan wabak selsema Sepanyol selain kebangkitan dan kejatuhan Soviet Union.

Dalam pada itu, rakyat Afrika Selatan, Fredie Blom mendakwa menyambut hari kelahiran ke-116 tahun bulan ini tetapi umurnya masih belum disahkan badan pencatat rekod itu.

Disiarkan pada: May 29, 2020 @ 1:14pm
d