global

Polis sebabkan kematian Floyd didakwa

Oleh AFP

Minnesota: Pegawai polis di Minneapolis, di sini yang didakwa menyebabkan kematian George Floyd hingga berlaku tunjuk perasaan di beberapa bandar, dituduh di mahkamah pada Jumaat.

Derek Chauvin didakwa atas pertuduhan membunuh dan kini dalam tahanan.

Kematian Floyd, 46, lelaki kulit hitam, mencetuskan kemarahan hingga berlaku demonstrasi yang bertukar ganas di Minneapolis, sebelum merebak ke bandar lain termasuk New York, Los Angeles dan Memphis.

Polis kulit putih itu didakwa menggunakan kekerasan ketika menahan Floyd pada Isnin lalu, apabila menekan leher mangsa dengan lutut hampir sembilan minit yang menyebabkan dia sukar bernafas.

Video mengenai kejadian yang turut menunjukkan Floyd merayu berulang kali, tular hingga membangkitkan kemarahan rakyat Amerika Syarikat (AS) dan ada mengaitkannya dengan sentimen ketidaksamaan kaum.

Pendakwa Raya Daerah Hennepin, Mike Freeman berkata, Chauvin menghadapi tuduhan pembunuhan tahap ketiga - secara tidak sengaja menyebabkan kematian dan pertuduhan mengambil kira kecuaian yang membawa maut.

"Kes sudah dibuka dan tertuduh sudah dihadapkan ke mahkamah," katanya.

Menurutnya, tiga lagi anggota polis yang bersama Chauvin ketika penahanan Floyd turut disiasat dan bakal dibawa ke muka pengadilan.

Semua empat mereka diberhentikan daripada jabatan polis Minneapolis pada Selasa, sehari selepas kejadian itu.

Sehingga kini, ratusan anggota keselamatan dikerah mengawal bandar Minneapolis dan St Paul bagi mengelak rusuhan hari keempat yang mengakibatkan banyak kemusnahan hingga Minneapolis diisytihar darurat pada Khamis.

Dalam pada itu, penunjuk perasaan turut berhimpun di luar Rumah Putih pada Jumaat sebagai membantah kematian Floyd, ketika Presiden Donald Trump berada di dalam bangunan.

Bagaimanapun, kediaman rasmi itu dikawal ketat dan tiada kejadian tidak diingini berlaku.

Trump sebelum itu bertemu ahli keluarga Floyd dan memaklumkan dukacita terhadap apa yang berlaku.

"Saya memahami deritanya (kehilangan Floyd). Keluarganya berhak mendapatkan keadilan dan rakyat Minnesota juga berhak hidup dengan selamat," katanya.

Susulan pertuduhan ke atas Chauvin, keluarga mangsa mengeluarkan kenyataan tidak puas hati kerana menganggap tuduhan dikenakan tidak mencukupi.

"Kami mahukan tuduhan pembunuhan peringkat pertama. Kami mahu lihat pegawai polis itu dihukum setimpal," tuntut mereka.

Disiarkan pada: May 30, 2020 @ 12:10pm
d