global

86 juta lagi kanak-kanak bakal hidup dalam kemiskinan

Oleh AFP

New York: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan sehingga hujung tahun ini pertambahan sehingga 86 juta kanak-kanak akan hidup dalam kemiskinan akibat krisis ekonomi yang disebabkan oleh pandemik Covid-19.

Menurut kajian bersama Pergerakan Save The Children dan Tabung Kanak-kanak PBB (UNICEF), jumlah kanak-kanak di seluruh dunia yang terjejas dengan kemiskinan adalah seramai 672 juta orang.

Ia adalah peningkatan 15 peratus berbanding tahun lalu.

Kajian juga mendapati, sekitar dua pertiga daripada kanak-kanak ini tinggal di sub-Sahara Afrika dan Asia Selatan, berdasarkan data penduduk membabitkan kira-kira 100 negara.

Ketua Pergerakan Save The Children, Inger Ashing berkata, pandemik ini akan terus meningkat terutama di Eropah dan Asia Tengah berdasarkan unjuran Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

"Dengan tindakan segera, kita mampu mencegah serta menyekat ancaman pandemik yang dihadapi negara termiskin serta kanak-kanak ini.

"Mereka ini mudah terjejas akibat kebuluran dan kekurangan zat makanan yang berpotensi membelenggu seumur hidup mereka," kata kedua-dua pertubuhan itu dalam satu kenyataan bersama.

Kedua-dua pertubuhan itu menggesa kerajaan dan pemerintah agar segera memperluas sistem keselamatan sosial dan penyediaan makanan di sekolah untuk mengehadkan kesan pandemik yang terus berlanjutan itu.

Disiarkan pada: May 30, 2020 @ 3:04pm
d