global

Iran kembali 'diserang' Covid-19 selepas dua bulan

Oleh AFP

Tehran: Iran mencatatkan hampir 3,000 kes baharu jangkitan Covid-19, angka tertinggi dalam tempoh dua bulan, dan menjangka satu lagi 'puncak bahaya' wabak membunuh itu di Timur Tengah.

"Ramai menyangka ia sudah berakhir, ada pihak berkuasa juga percaya ia kini sudah kembali seperti sedia kala.

"Ia bukan saja jauh daripada berakhir, tetapi kita mungkin melihat puncak bahaya yang lain," kata Menteri Kesihatan, Saeed Namaki.

Jurucakap kementerian, Kianoush Jahanpour mengumumkan jumlah keseluruhan kes Covid-19 kepada 154,445 dengan 2,979 jangkitan baharu dalam tempoh 24 jam.

Katanya, mangsa yang terkorban adalah sebanyak 81, meningkat 18 orang berbanding Ahad lalu dengan keseluruhan 7,878 mangsa maut setakat ini.

Namaki berkata, wilayah Sistan dan Baluchistan, Kermanshah, dan Hormozgan ketika ini berdepan peningkatan ketara kes jangkitan.

Menurutnya, separuh daripada jumlah kematian ini direkodkan dari tiga wilayah berkenaan.

"Jika ini berterusan, angka kematian mungkin mencecah tiga digit semula," katanya.

Pegawai kesihatan berulang kali menyuarakan kebimbangan terhadap wilayah Khuzestan yang terletak berhampiran sempadan Iraq.

Khuzestan kekal sebagai zon merah, dan menjadi satu-satunya kawasan yang dikenakan sekatan semula.

"Kami merayu kepada penduduk di sana supaya tidak mengadakan majlis perkahwinan atau pengebumian namun, mereka tidak mahu dengar," katanya.

Disiarkan pada: June 1, 2020 @ 7:39pm
d