global

Letak donat tangkap beruang hitam

Oleh Agensi

MIAMI: Donat dan semburan aroma pai berperisa beri biru kini menjadi alternatif untuk memerangkap beruang hitam yang berkeliaran di sekitar bandar Florida.

Pegawai Suruhanjaya Pemuliharaan Ikan dan Hidupan Liar Florida, Adam Brown berkata, ubat penenang tidak lagi berfungsi dengan pantas dalam menangkap haiwan bersaiz besar seperti beruang.

"Apabila kita menggunakan ubat penenang, beruang ada kalanya melarikan diri.

"Kita tidak mahu ia berlaku kerana memberi peluang kepada haiwan berkenaan lari ke jalan raya atau kawasan perumahan," katanya.

Menurut Brown, kaedah yang berkesan adalah meletakkan manisan iaitu donat dan semburan aroma pai berperisa beri biru di dalam perangkap.

Katanya, kaedah itu ternyata berhasil berbanding penggunaan ubat penenang yang digunakan sebelum ini.

"Beruang hitam yang ditangkap akan dipindahkan ke kawasan hidupan liar yang dikendalikan kerajaan.

"Pihak berkuasa menganggarkan terdapat sekitar 4,000 beruang hitam di Florida," katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan penduduk supaya 'menyimpan' tong sampah dan tidak meletakkannya di luar rumah pada waktu malam.

"Langkah itu bagi mengelakkan beruang menyelongkar tong sampah berkenaan," katanya.

Disiarkan pada: June 2, 2020 @ 8:21am
d