global

Larang guna telefon pintar sambil berjalan

Oleh AFP

Tokyo: Ia adalah situasi yang biasa dilihat di seluruh dunia di mana pejalan kaki 'melekat' pada telefon pintar masing-masing ketika berjalan, menyebabkan perlanggaran dan ada kalanya kemalangan.

Ia tidak akan berlaku lagi selepas ini.

Ini kerana, pegawai di bandar Yamato, berhampiran Tokyo, mengemukakan rang undang-undang kepada dewan perbandaran untuk menghentikan orang ramai daripada menggunakan telefon mereka ketika berjalan.

"Jumlah individu yang menggunakan telefon pintar terus meningkat dan ia turut menyumbang kepada peningkatan kemalangan khususnya di kawasan populasi tinggi.

"Kami mahu menghalang perkara itu dari terus berlaku," kata pegawai perbandaran Masaaki Yasumi.

Namun, katanya tidak ada sebarang hukuman akan dikenakan ke atas mereka yang masih mahu 'melekat' dengan skrin telefon pintar mereka.

"Sekiranya ia berjaya, ini akan menjadi larangan pertama seumpamanya di Jepun.

"Kami harap larangan ini akan menimbulkan kesedaran di kalangan orang awam mengenai bahaya sikap berkenaan," katanya.

Peraturan itu akan disampaikan melalui poster dan mesej yang akan dilaksanakan bermula bulan depan.

Pada 2014, kajian oleh syarikat mudah alih Jepun, NTT Docomo mendapati jarak pandangan bagi seorang pejalan kaki ketika sedang melihat ke arah skrin telefon berkurangan sebanyak lima peratus berbanding biasa.

Syarikat berkenaan juga menjalankan simulasi terhadap 1,500 pejalan kaki yang melintas di lintasan Shibuya sambil memandang ke skrin telefon pintar mereka.

Hasilnya, dua pertiga daripada responden gagal menyeberang lintasan berkenaan tanpa terbabit dalam sebarang insiden, dengan 446 perlanggaran, 103 individu jatuh dan 21 lagi keciciran telefon mereka.

Angka kemalangan membabitkan individu yang menggunakan telefon pintar sambil membawa basikal dengan pejalan kaki juga terus meningkat di Jepun.

Dalam sesetengah kes, keluarga mangsa menuntut ganti rugi sehingga 100 juta yen (RM4.3 juta).

Disiarkan pada: June 2, 2020 @ 10:48am
d