global

Pekerja marahkan Mark Zuckerberg

Oleh Agensi

Washington: Sebahagian kakitangan Facebook enggan bekerja selepas laman sosial itu dikatakan tidak 'menapis' kenyataan Presiden Donald Trump berhubung kematian George Floyd.

Biarpun bekerja dari rumah akibat pandemik Covid-19 ketika ini, kebanyakan daripada mereka enggan bertugas.

Mereka tidak berpuas hati memandangkan Twitter sudah mengkategorikan satu hantaran Trump di media sosial itu sebagai mahu mencetuskan keganasan.

Mesej itu berhubung kenyataan Trump yang menyatakan mahu menghantar pasukan tentera bagi mengawal rusuhan yang tercetus di seluruh negara.

Ia disifatkan menyalahi terma platform media sosial berkenaan.

Susulan itu, kakitangan terbabit mendakwa Ketua Eksekutif FB Mark Zuckerberg tidak mengambil pendekatan sewajarnya seperti Twitter.

Sebelum ini, rusuhan tercetus di beberapa bandar utama di Amerika Syarikat susulan kematian Floyd.

Pada Isnin lalu, kematian Floyd, 46, mencetuskan kemarahan apabila seorang pegawai polis kulit putih, Derek Chauvin bertindak di luar batas kemanusiaan ketika menahan mangsa.

Rakaman video menunjukkan Chauvin menekan lututnya di leher mangsa walaupun Floyd berulang kali mengatakan dia tidak boleh bernafas.

Perintah berkurung kini dikuatkuasakan di Washington, Los Angeles, Houston dan Minneapolis.

Pengawal kebangsaan juga sudah dihantar ke bandar terbabit bagi menyuraikan perusuh.

Selain itu, rusuhan turut berlaku di New York, Miami dan Washington.

Disiarkan pada: June 2, 2020 @ 12:22pm
d