global

Korban pertama Covid-19 di kem pelarian Rohingya

Oleh AFP

Dhaka: Lelaki berusia 71 tahun menjadi mangsa pertama korban Covid-19 di kem pelarian etnik Rohingya di sini.

Pegawai kesihatan di Cox's Bazar, Toha Bhuiyan berkata, lelaki berkenaan meninggal dunia Ahad lalu dan punca kematian akibat Covid-19 disahkan pada Isnin.

Mohammad Shafi, guru di kem berkenaan dan juga jiran mangsa memaklumkan lelaki itu menghidap penyakit darah tinggi dan masalah buah pingang.

"Tiada sesiapa sangka dia sedang berdepan gejala Covid-19 dan berita ini mengejutkan kami.

"Beberapa minggu ini, ramai di kalangan penduduk kem ini berdepan masalah demam, sakit kepala dan sakit badan. Namun, mereka menyangka ia kerana perubahan cuaca dan menganggap tidak perlu membuat ujian Covid-19," katanya.

Kejadian itu berlaku di Kutupalong, kem pelarian terbesar di dunia yang menempatkan kira-kira 600,000 orang.

Mangsa adalah antara 29 individu yang disahkan positif Covid-19 di kem berkenaan.

Pihak berkuasa kini giat menjejaki kontak rapat mangsa dan sehingga kini sembilan orang diletakkan dalam pengasingan.

Disiarkan pada: June 2, 2020 @ 5:46pm
d