global

Buaya bergelut di laman rumah

Oleh Agensi

MIAMI: Suami isteri di Florida terkejut selepas menerima kehadiran 'tetamu' tidak diundang iaitu dua buaya di hadapan pintu rumah mereka.

UPI.com melaporkan kehadiran reptilia itu disedari Joe selepas terdengar bunyi bising dari luar rumah sebelum memaklumkan kepada isterinya, Sue Geshel.

Geshel menyangka suaminya berjenaka sehingga melihat sendiri dua haiwan itu menerusi cermin tingkap di rumahnya.

Meskipun terkejut, Geshel sempat merakam aksi buaya berkenaan yang sedang bergelut sesama sendiri.

Perkongsian itu mendapat perhatian dan pelbagai reaksi oleh warganet selepas ia tular di media sosial.

Kisah itu turut mendapat liputan dan disiarkan di saluran berita tempatan.

"Saya ingatkan suami hanya bergurau.

"Namun, kedengaran bunyi bising, rupa-rupanya dua buaya itu benar-benar ada di halaman rumah kami," katanya kepada WINK-TV.

Menurut Geshel, dua ekor buaya itu ada di halaman rumahnya kira-kira 20 minit sebelum beredar.

Difahamkan, ia kejadian kali pertama yang berlaku sejak Joe dan Geshel tinggal di kawasan berkenaan.

Disiarkan pada: June 3, 2020 @ 7:10am
d