global

Covid-19: Kluster bar shisha

Oleh Agensi

Berlin: Satu kluster Covid-19 dikesan berpunca dari sebuah bar shisha di Gottingen, Jerman.

Sehingga kini, 68 kes jangkitan dikaitkan dengan bar berkenaan.

Ia juga menyebabkan lebih 300 orang yang pernah berkunjung ke bar itu atau kontak rapatnya menjalani kuarantin.

Bar berkenaan yang sebelum ini sepatutnya ditutup dikatakan beroperasi ketika perintah 'lockdown' berkuat kuasa di negara itu.

Sebelum ditutup baru-baru ini, ia sudah menerima kunjungan ratusan orang awam.

Bagaimanapun, tiada maklumat sama ada individu dijangkiti menggunakan paip shisha yang sama.

DW melaporkan kebanyakan daripada individu dijangkiti tinggal di sebuah kompleks perumahan di Gottingen yang mempunyai kira-kira 700 penduduk.

Laporan sama mendakwa 310 individu yang juga kontak rapat kepada individu dijangkiti kini menjalani perintah kuarantin.

"Mereka juga tidak dibenarkan untuk keluar dari rumah termasuk untuk membeli barangan dapur," kata laporan berkenaan.

Bagaimanapun, setakat ini, pihak berkuasa tidak berhasrat untuk meletakkan seluruh kompleks perumahan berkenaan supaya menjalani kuarantin.

Ketua pasukan pengurusan krisis Covid-19 bandar itu, Petra Broistedt berkata, pihaknya sudah mengenal pasti 60 individu positif Covid-19 di perumahan berkenaan.

"Namun, tidak munasabah untuk mengarahkan perintah berkurung terhadap seluruh kompleks perumahan ini," katanya.

Difahamkan, kebanyakan individu dijangkiti menghadiri pertemuan keluarga di bar berkenaan.

Disiarkan pada: June 3, 2020 @ 2:10pm
d