global

Bahan jenaka warganet

Oleh Agensi

BUCHAREST: Menyedari ada individu tidak mengamalkan penjarakan sosial, seorang tukang kasut dari bandar Cluj, Romania menghasilkan kasut kulit dengan muncung panjang pada bahagian depannya.

The Guardian melaporkan kasut itu dihasilkan Grigore Lup yang memiliki 39 tahun pengalaman dalam pembuatan kasut kulit.

"Anda boleh lihat di jalanan, terdapat segelintir individu tidak menghormati peraturan penjarakan sosial.

"Ia dapat dilihat sewaktu saya ke pasar untuk membeli anak benih untuk tanaman di kebun.

"Memang tidak ramai di sana tetapi jarak sesama mereka cukup rapat. Jadi, jika memakai kasut itu dan berdiri berhadapan, ada jarak kira-kira satu setengah meter antara satu sama lain," katanya.

Difahamkan, Lup sudah menerima lima pesanan untuk menghasilkan kasut yang dijual dengan harga AS$115 (kira-kira RM492) sepasang.

Lelaki itu mengambil masa dua hari untuk menyiapkan setiap pasang kasut berkenaan.

Rekaan kasut unik itu turut menjadi bahan jenaka dalam kalangan warganet selepas ia tular di laman sosial apabila ada yang membandingkannya dengan sandal.

"Ini luar biasa dan tidak masuk akal," ciap seorang pelayar di Twitter.

Sementara itu, seorang lagi warganet menyatakan rekaan kasut berkenaan kelihatan seperti sirip dan peralatan menyelam.

Dalam pada itu, Romania setakat ini merekodkan 19,669 kes positif Covid-19 dan 1,288 kes kematian.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: June 5, 2020 @ 7:10am
    d