global

Gajah bunting makan buah berisi letupan

Oleh Agensi

New Delhi: Dua lelaki ditahan polis dan jabatan perhutanan untuk membantu siasatan kerana disyaki terbabit dengan kes pembunuhan gajah bunting di Palakkad, Kerala.

Hindustan Times melaporkan, perkara itu disahkan oleh Menteri Perhutanan, K Raju, pada Jumaat lalu.

Raju berkata, lebih banyak tangkapan akan dibuat.

Lelaki yang ditahan itu dikenal pasti sebagai P Wilson seorang pekerja ladang.

Kedua-dua suspek dilaporkan memberitahu penyiasat mereka memasang perangkap pada buah yang dipenuhi dengan biskut untuk menakutkan babi hutan yang sering memusnahkan tanaman di ladang bagaimanapun gajah itu menjadi mangsa.

Kegiatan itu terbongkar pada 27 Mei lalu ketika Mohan Krishnan, seorang pegawai hutan memuat naik di Facebook (FB) miliknya selepas menyaksikan kematian itu.

Gajah itu dipercayai berlari ke sungai Velliyar yang berdekatan selepas memakan buah dan mati di sana walaupun pegawai hutan bergegas menyelamatkannya.

Pembunuhan gajah berusia 15 tahun itu mencetuskan kemarahan puak penunjuk perasaan di seluruh negara malah pelakon Bollywood, ikon perniagaan dan atlet sukan bergabung untuk mengutuk tindakan itu.

AFP melaporkan India berjanji akan menyiasat pembunuhan gajah bunting selepas diberi makan buah berisi bahan letupan.

Video yang tular menunjukkan haiwan itu berendam dalam sungai berjam lamanya dengan kes luka teruk pada bahagian rahang bawah dan gading menyayat hati semua yang melihatnya, disusuli gesaan pelakunya dikenakan hukuman berat.

Penduduk kampung di India, Sri Lanka dan kawasan lain sering menggunakan mercun atau nanas berisi bahan letupan yang bertindak sebagai jerangkap samar, bagi melindungi rumah atau tanaman daripada diserang hidupan liar.

Dianggarkan 2,361 orang mati akibat serangan gajah antara 2014 dan 2019, menurut data yang direkodkan oleh kerajaan India.

Sepanjang tempoh sama, sekitar 510 gajah mati, termasuk 333 kerana renjatan elektrik dan 100 ekor lagi akibat pemburuan haram serta keracunan. -Agensi

Disiarkan pada: June 6, 2020 @ 7:01am
d