global

Pelitup muka: AS saman China

Oleh Agensi

Washington : Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat (AS) memfailkan saman terhadap sebuah syarikat berpangkalan di China kerana menjual hampir setengah juta pelitup muka jenis N95 yang palsu kepada pembeli di AS, April lalu.

The Straits Times memetik laporan AFP melaporkan ,berdasarkan aduan difailkan di Mahkamah Persekutuan Brooklyn, New York, jabatan itu memaklumkan King Year Packaging dan Printing berpangkalan di Guangdong menghantar tiga bungkusan mengandungi pelitup muka N95 yang dipesan untuk kegunaan kakitangan perubatan dan warga AS untuk wabak Covid-19.

Syarikat berkenaan didakwa atas kesalahan penipuan kononnya 495,000 pelitup muka dibekalkan mematuhi piawaian N95 dan Institut Keselamatan Pekerjaan dan Kesihatan (NIOSH) Kebangsaan AS.

Difahamkan, lebih AS$ 1 juta (RM4.2 juta) dibayar kepada pembekal untuk mendapatkan bekalan pelitup muka berkenaan.

Ejen Biro Siasatan Persekutuan (FBI), Douglaa Korneski dalam satu kenyataannya berkata, tuduhan berdasarkan aduan diterima jelas menunjukkan syarikat terbabit mengabaikan keselamatan warga AS.

"Sekiranya bukan kerana tindakan pasukan penyiasat, tertuduh ini meletakkan responden pertama, pekerja hospital, dan pekerja barisan depan yang lain secara langsung dengan alat yang rosak hanya untuk mengaut keuntungan."

Syarikat China itu berdepan empat pertuduhan membabitkan kesalahan mengimport produk kesihatan yang salah dan tidak berkualiti dan pemalsuan kepada Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan AS.

Setiap kesalahan membawa hukuman denda sebanyak AS$500,000 (kira-kira RM2.1 juta) atau lebih berat lagi, dua kali ganda daripada keuntungan syarikat hasil jualan pelitup muka berkenaan.

Disiarkan pada: June 6, 2020 @ 11:36am
d