global

Guna pelitup muka di tempat awam - WHO

Oleh Agensi

Washington : Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan semua negara menyarankan rakyatnya menggunakan pelitup muka di tempat awam dalam usaha menghentikan penularan wabak Covid-19.

BBC memetik laporan AFP melaporkan, badan global itu memaklumkan maklumat baru diterima menunjukkan penggunaan pelitup muka berupaya menjadi penghalang bagi titisan yang menyebabkan risiko penularan wabak itu.

Ketua Teknikal Covid-19 untuk Program Kecemasan Kesihatan WHO, Dr Maria Van Kerkhove berkata, saranan terbaru itu dibuat berdasarkan dapatan kajian terbaharu.

"Kami menasihati pemimpin negara untuk menggalakkan orang memakai pelitup muka.," katanya.

Ketika ini, beberapa negara di seluruh dunia sudah mengesyorkan atau mewajibkan pemakaian penutup muka ketika berada di tempat awam.

WHO sebelum ini menyatakan tiada bukti yang menunjukkan adanya keperluan untuk individu yang sihat memakai topeng.

Organisasi berkenaan juga memaklumkan pelitup muka perubatan harus dipakai oleh individu yang sakit dan mereka yang merawatnya.

Menurut data yang dikumpulkan oleh Johns Hopkins University di Amerika Syarikat, terdapat 6.7 juta kes jangkitan Covid-19 di seluruh dunia sehingga kini.

Hampir 400.000 kematian dilaporkan sejak wabak itu bermula akhir tahun lalu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: June 6, 2020 @ 12:14pm
    d