global

10 terkorban dalam serangan di pusat pemulihan

Oleh AFP

Mexico City: Seramai 10 orang terbunuh dalam satu serangan di pusat pemulihan dadah di Guanajuato, negeri di tengah Mexico.

Dilaporkan, kumpulan bersenjata melakukan serangan di pusat berkenaan yang terletak di Irapuato, petang Sabtu.

Pihak berkuasa tempatan mengesahkan, tembakan dilepaskan mengakibatkan sembilan orang terbunuh serta-merta.

Setiausaha keselamatan awam negeri berkata, mangsa ke-10 yang cedera kemudiannya meninggal dunia di hospital.

"Kumpulan penyerang memasuki kawasan itu dengan melakukan keganasan melampau," kata pihak berkuasa.

Polis tiba di tempat kejadian bagi mengawal keselamatan sebelum pegawai dari pejabat pendakwa raya negeri mengumpul bahan bukti untuk memulakan penyiasatan.

Tahun lalu, Mexico merekodkan 34,582 pembunuhan, antara yang tertinggi sejak data rasmi direkodkan pada 1997.

Disiarkan pada: June 7, 2020 @ 5:54pm
d