global

Bunuh bapa kerana kerja

Oleh Agensi

HYDERABAD: Seorang lelaki di Telangana, selatan India membunuh bapanya supaya dia diambil bekerja menggantikan mangsa di syarikat sektor awam atas dasar belas kasihan, menurut polis.

Kejadian itu dilapor berlaku di perkampungan Kotturu pada 26 Mei namun, hanya terbongkar pada Sabtu.

Gulf News melaporkan, M Narsaiah, 58, bekerja sebagai operator pam di Singareni Collieries Company Ltd (SCCL) yang menetapkan polisi mana-mana pekerja yang meninggal dunia ketika berkhidmat atau sakit teruk, boleh digantikan dengan waris.

Narsaiah dijangka bersara beberapa hari lagi namun anak sulungnya, M Tirupati, 35, yang mahukan pekerjaan itu merancang pembunuhannya dan mendapat sokong ibu, Tara dan adik lelaki, Rakesh.

Menurut rancangannya, Tara dan Rakesh akan dihantar ke pekan Godavarikhani, dua hari sebelum pembunuhan supaya mereka tiada di rumah.

Pada 25 Mei, Tirupati dilapor minum arak di parti anjuran kampung itu dan pulang ke rumah serta mencekik bapanya hingga mati ketika lelaki itu sedang tidur. Dia kemudian ke rumah neneknya dan tidur di sana.

Keesokannya, Tirupati pulang ke rumah dan memaklumkan kepada saudara-mara bahawa ayahnya mati kerana serangan jantung serta mula mengatur urusan pengebumian.

Memandangkan dia perlu menyediakan Laporan Maklumat Pertama (FIR) berhubung kematian sebagai syarat memohon jawatan bapanya, Tirupati terpaksa ke balai polis Dharmaram dan melaporkan kematian lelaki itu disebabkan serangan jantung dalam tidur, malah Narsaiah sebelum itu dilapor minum arak.

Inspektor Prem Kumar mendaftar kes dan melakukan siasatan di kampung berkenaan, sebelum mendapati kematian mencurigakan dan mayat perlu dibedah siasat.

Laporan bedah siasat menunjukkan Narsaiah mati kerana dicekik.

Disiarkan pada: June 9, 2020 @ 6:00am
d