global

Pengawal keselamatan AS positif Covid-19 selepas rusuhan

Oleh AFP

Washington: Anggota pengawal kebangsaan Washington DC disahkan positif Covid-19 selepas penempatan mereka ketika tunjuk perasaan di ibu negara Amerika Syarikat (AS), baru-baru ini.

Bagaimanapun, Jurucakap Pengawal Kebangsaan DC, Leftenan Kolonel Brooke Davis berkata, pihaknya tidak boleh mendedahkan jumlah anggota diuji positif itu atas faktor 'keselamatan operasi'.

Katanya, ia berlaku selepas 1,700 anggota digerakkan untuk berkawal di hadapan Rumah Putih dan tempat lain, berikutan merebaknya tunjuk perasaan susulan pembunuhan George Floyd oleh polis Minneapolis.

Penempatan pengawal itu atas arahan datuk bandar dan kerajaan Persekutuan pada 1 Jun, untuk membantu mengawal tunjuk perasaan yang bertukar menjadi rusuhan dan rampasan.

Mereka menjalani saringan Covid-19 sebelum dan selepas penempatan, kata Davis.

Ketika tunjuk perasaan, tidak semua peserta memakai topeng muka dan kebanyakan penguat kuasa, anggota keselamatan dan pengawal juga berkawal tanpa memakainya.

"Pengawal Kebangsaan mengamalkan penjarakan sosial dan amalan pemakaian pakaian perlindungan diri (PPE) juga dipraktikkan sepanjang penempatan itu," katanya.

Covid-19 sudah meragut 112,000 nyawa di Amerika Syarikat sejak ia menular dari China dan Eropah awal tahun ini.

Negara itu merekodkan dua juta kes daripada keseluruhan 7.2 juta kes dunia.

Disiarkan pada: June 10, 2020 @ 10:41am
d