global

Kereta api 'bawa' mayat lima jam

Oleh Agensi

London: Lelaki warga emas mengalami serangan jantung dan mati dalam kereta api menghala ke Bournemouth, South West, England hanya ditemui selepas lima jam, berikutan langkah pencegahan Covid-19 yang diamalkan pengurusan pengangkutan itu.

Sejak beroperasi semula, perkhidmatan kereta api antara bandar itu tidak lagi menempatkan konduktor mahupun kakitangan untuk melayani penumpang di gerabak seperti kebiasaan.

Disebabkan itu, mayat lelaki malang berusia 60 tahun terbabit hanya dijumpai ketika kerja pembersihan dilakukan di depoh kereta api pusat pada Sabtu lalu.

The Sun melaporkan, mangsa menaiki kereta api dari stesen Manchester Piccadilly pada 6.27 petang, sepatutnya turun di stesen Stockport lapan minit kemudian, namun meninggal dunia dan mayat dibawa hingga stesen terakhir di Bournemouth sejauh 402 kilometer.

"Disebabkan wabak Covid-19, konduktor tidak dibenarkan untuk berinteraksi dengan pelanggan.

"Mereka juga tidak boleh berjalan antara gerabak untuk memeriksa tiket dan memastikan semua penumpang OK, seperti kebiasaan sebelum ini.

"Satu-satunya tugas mereka adalah memastikan pelepasan kereta api selamat, selebihnya mereka hanya berada di pejabat," kata sumber. Kematian itu dilaporkan kepada Polis Pengangkutan British.

Ia insiden kedua dalam tempoh dua minggu bagi perkhidmatan kereta api antara bandar, dengan kejadian pertama membabitkan wanita berpenyakit demensia.

Wanita itu memulakan perjalanan dari Birmingham New Street ke Exeter - perjalanan dua jam 30 minit, tetapi terlepas stesen dan ditemui pada 1 pagi di Plymouth dalam keadaan tertekan.

Paramedik dipanggil dan dia terpaksa bermalam di hospital sebelum dibawa pulang oleh saudara.

Disiarkan pada: June 12, 2020 @ 4:04pm
d