global

Dah tiada dana

Oleh BERNAMA

AMMAN: British Airways (BA) dilaporkan terpaksa menjual beberapa koleksi seni bernilai jutaan pound untuk mengumpulkan dana bagi membantu syarikat mengharungi krisis yang dicetuskan wabak Covid-19, lapor agensi berita Jordan (Petra) pada Khamis.

Syarikat itu berkata, koleksi berkenaan merangkumi karya seni Damien Hirst, Bridget Riley dan Peter Doig, satu daripadanya dipercayai bernilai lebih AS$1 juta (RM4.26 juta)

Difahamkan, sekurang-kurangnya 10 karya seni sudah dijual.

Minggu lalu, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif BA, Alex Cruz berkata, syarikat mengalami kekurangan aliran tunai dan masalah mungkin dapat diselesaikan dengan melaksanakan penstrukturan semula perniagaan.

Akhbar London Evening Standard melaporkan penjualan karya seni itu dikendalikan oleh syarikat lelong, Sotheby's.

Dalam pada itu, Turki menyambung semula sebahagian perkhidmatan penerbangan antarabangsa yang ditangguhkan hampir dua bulan disebabkan penularan Covid-19, lapor agensi berita Xinhua.

Pesawat syarikat penerbangan negara, Turkish Airlines (THY) berlepas dari Lapangan Terbang Istanbul menuju ke Dusseldorf, Jerman, ia akan diikuti beberapa lagi penerbangan ke bandar raya seperti London dan Amsterdam.

AnadoluJet pula memulakan semula perkhidmatan apabila pesawatnya berlepas dari Lapangan Terbang Sabiha Gokcen Istanbul menuju ke Berlin dan London.

Beberapa hari akan datang, Turki dijangka meningkatkan jumlah penerbangan antarabangsa ke 40 negara.

Disiarkan pada: June 13, 2020 @ 6:01am
d