global

Pengembara berkuda diaibkan

Oleh Agensi

London: Seorang pengembara kesal dan rasa diaibkan selepas mendapat layanan buruk sewaktu mahu membuat pesanan secara pandu lalu di sebuah restoran makanan segera hanya kerana datang bersama kuda peliharaannya.

Metro UK melaporkan, Ian Bell, 55 berkata, insiden itu berlaku ketika dia mahu membuat pesanan makanan di sebuah restoran makanan segera dekat Carlisle, Cumbria di sini.

Katanya, sebaik tiba gilirannya, pengurus restoran memberitahu dia perlu meninggalkan kawasan berkenaan demi kesihatan dan keselamatan pelanggan lain.

Bell menganggap alasan diberikan tidak munasabah kerana haiwan peliharaannya itu tidak mengganggu sesiapa sebaliknya dalam keadaan terkawal.

"Saya beratur di belakang beberapa kereta dan bercadang memesan set makanan, tetapi bila sampai waktunya, pengurus restoran itu memberitahu saya tidak boleh berbuat demikian.

"Rasa tidak percaya dengan apa yang didengar itu. Saya tidak lakukan sebarang kesalahan. Malah, Jon Jon (kuda peliharaan) juga begitu, hanya diam tanpa menimbulkan kekacauan.

"Akhirnya, saya ke restoran makanan segera lain dan dilayan seperti biasa malah mereka tidak keberatan mengambil serta menyiapkan pesanan saya," katanya.

Bell menganggap layanan buruk diterimanya itu bukti restoran makanan segera berkenaan cuba mendiskriminasi mereka yang datang dengan menunggang kuda.

Lelaki itu juga mempertahankan alasannya dengan mengatakan datang menaiki troli bersama kuda peliharaannya adalah perkara biasa dilakukannya.

Sementara itu, jurucakap restoran makanan segera berkenaan memohon maaf kepada Ian jika tersinggung dengan apa yang berlaku.

"Kami tidak mahu mengeruhkan keadaan dan meminta maaf kepada Ian dan Jon Jon.

"Namun, keselamatan pelanggan amat penting jadi kami tidak dapat membenarkan kuda melalui kawasan pandu lalu," katanya.

Disiarkan pada: June 16, 2020 @ 7:10am
d