global

Covid-19: Lebih 1,000 orang maut di Arab Saudi

Oleh AFP

Riyadh: Jumlah kematian akibat Covid-19 di Arab Saudi melebihi 1,000 kes semalam, ketika beberapa minggu lagi menjelang musim haji.

Berdasarkan data Kementerian Kesihatan negara itu, angka kematian meningkat kepada 1,011 orang selepas jumlah jangkitan meningkat menjadi 132,048 kes.

Jumlah jangkitan meningkat selepas pihak berkuasa melonggarkan sekatan, dengan jumlah kes harian melebihi 4,000 untuk hari kedua berturut-turut bermula Isnin.

Unit Rawatan Intensif di hospital Riyadh dan Jeddah penuh dengan pesakit koronavirus, yang memberi tekanan kepada sistem perkhidmatan kesihatan negara itu.

Awal bulan ini, kerajaan mengumumkan penutupan semula Jeddah, pintu masuk khas untuk umat Islam menunaikan ibadah umrah dan haji ke Makkah.

Langkah itu termasuk larangan pergerakan bermula 3 petang hingga 6 pagi, penangguhan solat di masjid dan perintah tinggal di rumah untuk pekerja sektor awam dan swasta.

Selepas melonggarkan beberapa sekatan, kerajaan pada akhir Mei lalu mengatakan sekatan akan dibuat semula selepas peningkatan kes secara mendadak.

Kerajaan mengatakan ziarah "umrah" sepanjang tahun ke Makkah dan Madinah akan ditangguhkan kerana bimbang wabak koronavirus merebak di kota suci umat Islam.

Pihak berkuasa belum mengumumkan apakah mereka akan menangguhkan haji tahun ini yang dijadualkan pada akhir Julai.

Tetapi, Arab Saudi menggesa umat Islam untuk sementara waktu menangguhkan persiapan untuk menunaikan haji tahunan.

Tahun lalu, kira-kira 2.5 juta orang menunaikan haji dari seluruh dunia.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: June 16, 2020 @ 11:54am
    d