global

Terima e-mel mendiang bapa lepas 10 bulan

Oleh Agensi

MANILA: Seorang wanita terkejut apabila menerima e-mel daripada mendiang bapanya, 10 bulan selepas lelaki itu meninggal dunia.

Dia akhirnya menyedari e-mel yang dijadualkan itu mengandungi arahan terperinci mengenai kejutan untuk ulang tahun perkahwinan bapa dan ibunya.

Ibu bapanya seharusnya meraikan ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-25 bersama-sama, tetapi ayahnya meninggal dunia sebelum itu.

Alyssa Mendoza yang tinggal di Filipina menceritakan kisah itu di Facebook untuk berkongsi apa yang diatur oleh mendiang bapanya.

Menerusi e-mel itu, bapanya meminta dia menghubungi penjual bunga dan sudah membayar harga bunga itu untuk dihantar kepada ibunya.

Ia untuk setiap hari istimewa iaitu ulang tahun kelahiran ibunya, Hari Kekasih dan ulang tahun perkahwinan.

E-mel itu mengandungi arahan untuk diikuti oleh wanita itu mengenai kejutan yang dirancang untuk ibunya. Mendiang juga meninggalkan sepucuk surat kepada isterinya.

Menjelang hari ulang tahun perkahwinan ibu bapanya, Mendoza dan pembantunya mula membuat kejutan kepada ibunya mulai 11 ​​malam.

Mereka selesai menguruskan hal itu pada jam 5.30 pagi, tepat sebelum penggera jam ibunya berbunyi pada 6 pagi.

"Kematian tidak dapat menghentikan ayah untuk terus menyayangi ibu saya," tulis Mendoza dalam hantaran di Facebooknya.

Disiarkan pada: June 17, 2020 @ 7:45am
d