global

Pasrah ikan arowana digoreng bapa

Oleh Agensi

Jakarta: Bagi pengumpul hobi ikan hiasan, membeli ikan arowana berharga mencecah ratusan ribu hingga jutaan rupiah mungkin perkara biasa.

Tapi bagaimana jika ikan mahal itu menjadi menu makanan keluarga.

Demikian diceritakan Bayu, warga Sukoharjo yang bekerja di Cikarang, Bekasi apabila ikan arowana jenis keemasan miliknya digoreng bapanya tanpa izin.

Cerita itu menjadi tular di akaun Instagram @solokini dipercayai ikan itu diuruskan bapanya selama dua tahun, namun lelaki itu sudah malas hingga akhirnya memasak ikan itu.

Bayu mengetahui khabar sedih itu daripada adiknya yang mengambil gambar detik ikan kesayangannya digoreng.

"Arowanaku yang digoreng bapakku min. Belinya di Jatinegara ketika berumur empat tahun, menemani saya di Cikarang dua tahun dan saya bawa pulang tetapi bapakku tidak larat jaga kini sudah digoreng bapakku," kata Bayu yang dikutip akaun @solokini.

Melalui akaun @mas_bayu_oky, Bayu mengatakan dirinya bekerja di Cikarang, Bekasi dan ikan arowana itu dibeli dibeli di Jatinegara berharga Rp800,000 (RM241).

"Dulu belinya Rp800,000, tetapi kalau sekarang dijual harganya sekitar Rp2 juta (RM609)," kata Bayu kepada detikcom.

Menurutnya, selepas ikan itu semakin besar mencecah umur dua tahun, ikan itu dibawa ke Sukoharjo supaya dapat dijaga sebaiknya di rumahnya sebab akuariumnya sudah tidak lagi dapat memuatkan ikan arowananya yang semakin membesar itu.

"Kalau di rumah (Sukoharjo) kan akuariumnya besar, jadi biar ikannya nyaman," jelas Bayu.

Saat itulah ikan arowananya tidak dirawat seperti yang dilakukan Bayu. Jika biasanya ikan diberi makan cengkerik dan lipan, ayahnya hanya memberikan cicak.

Kemudian, Bayu mendapat berita daripada adiknya ikan arowana kesayangannya itu sudah digoreng bapanya.

Bayu mengaku pasrah dan berusaha tidak mahu memikirkan kembali hal itu walaupun ralat bapanya makan ikan hiasan kesayangannya bernilai Rp2 juta itu.

"Sudah saya ikhlaskan. Kalau membayangkan itu rasanya mahu muntah," katanya.

Disiarkan pada: June 17, 2020 @ 1:42pm
d