global

Putuskan tangan demi wang

Oleh Agensi

BERLIN: Seorang lelaki di Jerman sanggup kehilangan tangan kiri semata-mata untuk menuntut pampasan insurans berjumlah enam juta pound sterling (RM32 juta).

Bagaimanapun, tindakan Christian W, 45, dari Dortmund mengundang padah apabila dia dipenjara dua tahun kerana melakukan penipuan.

Pada kejadian Oktober 2018 itu, lelaki terbabit pada mulanya mendakwa bahawa tangan kirinya putus selepas dia terjatuh ke landasan kereta api.

Bagaimanapun, siasatan mendapati lelaki itu dengan sengaja meletakkan tangan kirinya di landasan kereta api supaya anggota badan itu putus.

Berdasarkan keterangan di mahkamah, tertuduh menaiki skuter milik anak perempuannya sebelum menyelinap masuk ke stesen kereta api Nordbogge pada waktu malam.

Ketika kejadian, sebuah kereta api berada di platform dan bersedia untuk bergerak.

Lelaki itu dikatakan berbaring dan meletakkan tangan kirinya di atas landasan seolah-olah dia terjatuh.

Kereta api terbabit bergerak pada 3.23 pagi dan terus menggilis tangan Christian.

Ia menyebabkan tangan kirinya terputus.

Lelaki itu dikejarkan ke hospital namun, doktor gagal menyambung semula anggota badan berkenaan.

Pendakwa raya berkata, sebelum kemalangan, tertuduh ada mengambil enam insurans kemalangan bernilai enam juta pound sterling (kira-kira RM32 juta).

Ketika dirawat di hospital, lelaki itu menghantar surat tuntutan kepada syarikat insurans berkenaan.

Bagaimanapun, syarikat insurans dan juga pihak berkuasa meragui dakwaan lelaki itu serta kemalangan berkenaan.

Akhirnya, mahkamah mendapati Christian terbabit dalam penipuan terhadap syarikat insurans.

Disiarkan pada: June 19, 2020 @ 7:15am
d