global

Virus di Beijing 'mungkin dari Eropah'

Oleh AFP

Beijing: China mendedahkan genom (set DNA) Covid-19 dikesan di Beijing mempunyai persamaan dengan virus sama di Eropah.

Pada masa sama, kajian menunjukkan ia berbeza dengan 'strain' (jenis) virus itu yang melanda benua berkenaan, pada masa ini.

Ia berdasarkan pendedahan pihak berkuasa China yang berkongsi data genom virus itu, Khamis lalu.

Jurucakap Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit China, Zhang Yong berkata, setakat ini dapatan penyelidikan mencadangkan jangkitan itu 'datang dari Eropah'.

Bagaimanapun, ia dikatakan berbeza dengan jenis 'strain' (jenis) yang terdapat di benua berkenaan, ketika ini.

"Virus di sini lebih lama atau tua berbanding apa yang dikesan di Eropah," katanya.

Zhang berkata, penularan virus itu kemungkinan disebarkan menerusi makanan sejuk beku import atau di dalam pasar borong.

Sebelum ini, virus berkenaan dikesan pada papan pemotong yang digunakan untuk memotong ikan salmon import di pasar Xinfadi, di sini.

Namun saintis menasihatkan agar tidak membuat kesimpulan awal untuk mengaitkan penularan itu dengan kluster Beijing.

Setakat semalam, 25 kes baharu dilaporkan di ibu negara China itu menjadikan jumlah keseluruhan 183 kes.

Ia menjadi sebagai pusat penularan terbaru pandemik berkenaan, selepas ia pertama kali dikatakan tersebar dari sebuah pasar di Wuhan, pada akhir tahun lalu.

Seramai 10,000 orang di ibu negara China sudah diuji sementara beberapa kawasan lain sudah dikenakan perintah berkurung.

Pihak berkuasa juga sudah mengarahkan sekolah ditutup dan menggantung sebahagian besar penerbangan masuk dan keluar ke Beijing.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: June 19, 2020 @ 3:32pm
    d