global

'Fasa baharu dan berbahaya Covid-19' - WHO

Oleh AFP

Rio de Janeiro: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran mengenai 'fasa baharu dan berbahaya' pandemik koronavirus, ketika kes jangkitan terus meningkat di Amerika, dengan Brazil merekodkan lebih 1 juta kes positif Covid-19.

Keadaan sama berlaku di Colombia dan Mexico, dengan jumlah kematian meningkat kepada 2,000 dan 20,000 masing-masing, menunjukkan virus itu memberi kesan buruk di Amerika dan sebahagian Asia, walaupun Eropah sudah melonggarkan arahan perintah berkurung.

Langkah yang diambil untuk menghalang penularan pandemik itu melumpuhkan ekonomi banyak negara, tetapi WHO memberi amaran supaya tidak mudah mengalah.

"Dunia berada dalam fasa baharu dan bahaya. Difahamkan, ramai yang merasa bosan kerana 'terkurung' di rumah... tetapi virus ini masih menular dengan pantas," kata Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus dalam sidang media maya.

Virus ini sudah membunuh lebih 458,000 orang, dan menjangkiti 8.6 juta di seluruh dunia.

Walaupun sudah berbulan-bulan, namun vaksin belum berjaya dihasilkan selepas beberapa ujian dilakukan, malah saintis masih membuat penemuan baharu mengenai virus, simptom dan sejauh mana penyebarannya belum dapat dikenal pasti.

Brazil, yang mencatatkan kes jangkitan dan kematian tertinggi selepas Amerika Syarikat (AS) merekodkan 55,000 kes jangkitan baharu sehari, menjadikan negara kedua yang merekodkan kes melebihi satu juta.

Pihak berkuasa bandar Mexico juga menarik balik rancangan untuk membuka semula ekonomi mulai minggu depan, kerana kadar jangkitan masih terlalu tinggi.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: June 20, 2020 @ 2:46pm
    d