global

Edar dadah antara JB - Singapura guna dron

Oleh Agensi

SINGAPURA: Tiga lelaki dan seorang wanita ditahan kerana didakwa mengedar dadah menggunakan dron yang diterbangkan antara Kranji dan Johor Bahru.

Berita Mediacorp melaporkan, dalam satu kenyataan media bersama hari ini, Pasukan Polis Singapura (SPF) dan Biro Narkotik Pusat (CNB) menyatakan polis mengesan aktiviti pesawat tanpa pemandu yang luar biasa di ruang udara Taman Kolam Air Kranji pada Rabu sekitar 5.45 petang.

Pegawai polis daripada Bahagian Polis Woodlands dikerah untuk menyiasat dan mereka melihat sebuah pesawat tanpa pemandu dengan beg yang terikat di atasnya berlegar-legar di udara di Taman Kolam Air Kranji.

Polis kemudian menemui dan menahan dua lelaki berusia 29 dan 34 tahun, yang dipercayai mengendalikan dron itu.

Siasatan awal mendapati beg itu mengandungi dadah disyaki jenis ice seberat sekitar 278 gram (g).

Pegawai CNB juga menemui pelbagai jenis dadah dalam kereta milik seorang daripada lelaki berkenaan.

Ia termasuk kira-kira 35g Ice, 8g heroin dan 195 pil ekstasi.

"Kedua-dua lelaki itu disyaki mengendalikan pesawat tanpa pemandu dari Singapura untuk mengimport dadah dari Malaysia.

"Data penerbangan yang diambil daripada telefon salah seorang suspek menunjukkan pesawat tanpa pemandu itu diterbangkan dari Kranji ke Johor Bahru di Malaysia dan kembali ke Kranji pada hari sama," kata SPF dan CNB dalam kenyataan mereka.

Dalam operasi susulan yang dilakukan oleh CNB pada keesokan harinya, seorang wanita berusia 24 tahun dan seorang lelaki 40 tahun juga ditangkap susulan penahanan dua lelaki yang ditangkap di Taman Kolam Air Kranji.

Wanita itu yang disyaki penyalahguna dadah ditangkap di kawasan perumahan peribadi di Marne Road dekat Little India, sementara lelaki itu, yang disyaki pengedar dadah ditahan tidak lama kemudian di sebuah unit di dalam kawasan sama.

"Pegawai kami masuk secara paksa kerana lelaki itu enggan mematuhi arahan pegawai CNB untuk membuka pintu," kata SPF dan CNB.

Hasil serbuan itu menemui, sebanyak 76g Ice, sejumlah kecil heroin, dua pil Eramin-5 dan wang tunai berjumlah S$13,230, ditemui di dalam unit berkenaan.

Jumlah dadah jenis ice yang dirampas dalam operasi itu sebanyak 389g cukup untuk memenuhi ketagihan sekitar 220 penyalahguna dadah selama seminggu, kata kedua-dua agensi itu.

Jumlah dadah yang dirampas dianggarkan bernilai sekurang-kurangnya S$44,000.

Lelaki berusia 29 dan 34 tahun itu akan didakwa pada Jumaat kerana mengedar dadah terkawal Kelas A.

Jika didapati bersalah, mereka akan dijatuhi hukuman penjara sekurang-kurangnya lima tahun dan lima sebatan.

SPF dan CNB menyatakan siasatan sedang dijalankan.

Disiarkan pada: June 20, 2020 @ 5:32pm
d