global

Tiga terbunuh, tiga parah dalam insiden amukan

Oleh AFP

Reading, United Kingdom: Tiga terbunuh, manakala tiga lagi parah dalam insiden amukan di sebuah taman yag dibanjiri pengunjung di bandar Reading pada Sabtu.

Polis Lembah Thames berkata, pihaknya melancarkan siasatan dan menolak kemungkinan insiden itu ada kaitan dengan pengganas selepas satu tangkapan dilakukan di tempat kejadian.

Perdana Menteri Britain, Boris Johnson turut mengutuk insiden itu.

"Takziah kepada mereka yang terkesan dengan kejadian di Reading dan terima kasih kepada mereka yang terbabit memberi perkhidmatan kecemasan di lokasi insiden," katanya dalam ciapan di Twitter.

"Ketika ini, insiden terbabit tidak diklasifikasikan sebagai kejadian keganasan, bagaimanapun pegawai sentiasa berfikiran terbuka mengenai motif kejadian. Kami turut mendapat sokongan daripada Counter Terrorism Policing South East," kata polis dalam kenyataan.

Polis turut mengesahkan penahanan lelaki berusia 25 tahun, bagaimanapun tidak merujuk kepada laporan media yang menunjukkan suspek adalah warga Libya.

Setiausaha Dalam Negeri, Priti Patel menyatakan insiden itu satu serangan tidak masuk akal terhadap orang ramai yang sedang bersantai pada malam Sabtu bersama kawan-kawan.

Protes Black Lives Matter berlaku di taman berkenaan sebelum kejadian berlaku, tetapi pihak polis mengatakan tiada petunjuk kedua-dua insiden itu ada kaitan.

Disiarkan pada: June 21, 2020 @ 9:33am
d