global

Zirafah naik angin

Oleh Agensi

NEW DELHI: Tiada siapa menyangka pengalaman untuk melihat haiwan di safari bertukar menjadi mimpi ngeri apabila kehadiran tetamu 'tidak disenangi' penghuninya.

Menerusi video yang tular di laman sosial, seekor zirafah di safari di India yang pada mulanya dilihat jinak tiba-tiba bertukar ganas dengan mengejar pengunjung.

Indiatoday melaporkan pengunjung yang mahu menerokai dan melihat haiwan di safari berkenaan perlu menaiki kenderaan khas yang disediakan pihak pengurusan sebagai langkah keselamatan.

Bagaimanapun, ketika menghampiri seekor zirafah dewasa, haiwan itu yang dilihat jinak berjalan perlahan dan berdiri berhampiran kenderaan tiba-tiba 'naik angin' sebelum mengejar pengunjung.

Haiwan itu mula bergerak menghampiri mereka ketika pemandu mahu mengundurkan kenderaan untuk menyelamatkan penumpang.

Dalam keadaan cemas, seorang daripada pengunjung sempat merakam detik itu sebelum berkongsi video sebelum tular di platform media sosial.

Video itu dikongsi Pegawai Perkhidmatan Perhutanan India, Sudha Ramen dengan status 'jangan membuat kacau dengan zirafah. Tonton video ini untuk melihat sejauh mana kekuatan kaki haiwan itu.

"Dengan hanya satu tendangan, zirafah boleh membuat seseorang itu tersembam ke tanah. Haiwan itu berlari dengan kelajuan yang pantas," katanya.

Disiarkan pada: June 22, 2020 @ 7:45am
d