global

Misteri 14 mayat tepi jalan

Oleh AFP

MEXICO: Mayat 14 individu dibalut dengan selimut dan pita pelekat ditemui di tepi jalan di Fresnillo, Zacatecas, semalam.

Pegawai Pendakwa Zacatecas, Francisco Murillo berkata empat daripada mayat itu sudah dikenalpasti berasal dari Juan Aldama iaitu sebuah bandar yang terletak 150 kilometer dari tempat kejadian.

"Mereka adalah individu yang hilang daripada kawasan itu beberapa hari lalu," katanya.

Menurut siasatan awal, kejadian itu membabitkan pergaduhan antaran kumpulan penjenayah.

Zacatecas adalah salah satu kawasan utama pengedaran dadah ke Amerika Syarikat dan menurut pakar, wilayah itu direbut tiga kumpulan penjenayah tempatan yang mempunyai kaitan dengan dua kartel dadah paling kuat di Mexico iaitu Sinaloa dan Jalisco New Generation .

Semalam juga, Ketua Keselamatan Mexico, Omar Garcia Harfuch cedera manakala dua pengawal keselamatannya terbunuh dalam serangan lelaki bersenjata.

Seorang wanita yang memandu melalui tempat kejadian itu juga terbunuh.

Omar yang cedera dengan tiga kesan tembakan mendakwa ia dilakukan oleh kartel dadah Jalisco New Generation.

Sejak Disember 2006 ketika pemerintah ketika itu melancarkan operasi ketenteraan terhadap kumpulan penjenayah pengedaran dadah, lebih 290,000 orang dibunuh.

Pakar percaya strategi ini memisahkan kartel menjadi sel lebih kecil dan ganas.

Walaupun sebahagian besar Mexico 'lumpuh' akibat penularan wabak pandemik Covid-19 namun keganasan tidak berkurangan.

Mac lalu adalah antara bulan 'paling ganas' sejak 1997 yang mencatat 3,000 pembunuhan.

Disiarkan pada: June 27, 2020 @ 11:35am
d