global

Guna belut hidup rawat sembelit

Oleh Agensi

BEIJING: Tindakan gila seorang lelaki memasukkan belut hidup sepanjang 38 sentimeter ke dalam duburnya untuk merawat masalah sembelit mengundang padah apabila dia hampir maut akibat ususnya berlubang.

Lelaki berusia lingkungan 50-an itu berkata, dia membeli belut hidup di pasar dan memasukkan ia ke dalam duburnya untuk merawat masalah sembelit yang dihadapinya.

Bagaimanapun, belut itu menembusi usus lelaki berasal dari wilayah Guangdong, China itu yang pada mulanya tidak mendapatkan sebarang bantuan tetapi selepas seminggu dia mula mengalami sakit di bahagian perut.

Dia kemudiannya mendapatkan rawatan di Hospital Dongguan Huangjiang dan doktor mendapati belut berkenaan menebuk lubang pada usus lelaki itu menyebabkan jangkitan kuman.

Pakar bedah Dr Li Jian berkata, keadaan lelaki itu sangat serius hingga menyebabkan percakapannya sukar difahami.

"Dia mengalami kejutan septik. Ketika imbasan CT kami mengesyaki ada objek asing di dalam ususnya tetapi tidak mengetahui apa bendasing berkenaan, bagaimanapun imbasan mendapati seekor belut dalam usus lelaki itu

"Ketika dibedah, kami menemui belut yang sudah mati manakala perut pesakit dipenuhi najis, air dan nanah akibat jangkitan kuman yang teruk.

"Pesakit itu boleh mati sekiranya lambat mendapatkan rawatan," katanya yang mengesahkan lelaki itu kini sudah sembuh dan dibenarkan pulang.

Disiarkan pada: June 27, 2020 @ 2:04pm
d