global

Covid-19 beri kesan kepada Arab Saudi

Oleh AFP

Riyadh: Kosong dan sunyi menghantui kota Makkah yang kebiasaannya sibuk dan ramai pengunjung selepas pihak berkuasa Arab Saudi mengehadkan jemaah haji hanya untuk penduduk yang tinggal di negara itu, susulan penularan wabak Covid-19.

Khemah jemaah yang terbengkalai dan hotel tidak bermaya, kota suci Islam itu biasanya menempatkan berjuta jemaah haji namun tahun ini hanya sekitar 1,000 jemaah dari pelbagai negara yang sudah berada di negara berkenaan dibenarkan untuk mengerjakan ibadah haji.

Arab Saudi meraih sekitar 12 bilion dolar AS (RM51.5 bilion) daripada jemaah haji dan umrah.

Pembangunan pesat beberapa tahun kebelakangan ini, menyaksikan pertambahan pusat membeli-belah, pangsapuri dan hotel mewah, namun kini kebanyakkan premis itu kosong selepas wabak Covid-19 melanda dunia.

Ia memberi kesan kepada perniagaan yang bersandarkan kepada kedatangan jemaah haji dan umrah.

Ribuan pekerjaan daripada ejen pelancongan, tukang gunting rambut hingga kedai cenderamata pastinya terkesan apabila jumlah jemaah dikurangkan.

Ramai yang merungut diberhentikan, dipotong gaji atau pembayaran lambat.

Ahmed Attia, 39, yang bekerja di syarikat pelancongan berkata tiada jualan dan tiada pendapatan buatnya.

"Kami tidak biasa melihat bandar Makkah kosong. Ia seperti bandar mati. Ia dahsyat untuk Makkah," katanya.

Rabu lalu, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) memberi amaran bahawa KDNK kerajaan akan menyusut 6.8 peratus tahun ini - prestasi terburuknya sejak krisis minyak tahun 1980-an.

Menurut sumber, kumpulan pembinaan Arab Saudi terkenal, Binladen yang terkenal dengan projek mega juga didakwa gagal membayar gaji pekerja sejak beberapa bulan lalu.

Bagaimanapun syarikat itu enggan memberi sebarang komen.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: June 28, 2020 @ 1:49pm
    d