global

UK kuatkuasakan lockdown di Leicester

Oleh AFP

London: United Kingdom (UK) pada Isnin melaksanakan kembali perintah 'lockdown' di Leicester yang terkesan teruk dengan pandemik Covid-19.

Ia dugaan besar Perdana Menteri Boris Johnson dalam melaksanakan strategi pengawalan jangkitan dinamakan 'whack-a-mole', ketika negara itu mula membuka sektor ekonominya.

Susulan itu, pihak berkuasa mengarahkan pembukaan sesi persekolahan ditunda dan premis bukan berkeperluan di Leicester, ditutup.

UK antara negara paling terjejas teruk akibat wabak di Eropah dengan lebih 43,000 kematian tetapi Johnson bulan lalu mula melonggarkan arahan perintah berkurung yang dilaksanakan sejak penghujung Mac lalu.

Di tengah-tengah situasi masih belum reda, beliau membuat keputusan terlampau pantas dengan berjanji membendung wabak tempatan umpama permainan 'whack-a-mole'.

Strategi itu merujuk kepada permainan mengetuk patung permainan kembali ke dalam lubang, yang lazimnya didapati di arked permainan atau pusat hiburan keluarga.

Hospital dan kilang yang dilanda wabak itu ditutup tetapi langkah kawalan di Leicester yang memiliki populasi 340,000 itu adalah tindakan pertama untuk memulihkan perintah 'lockdown' dalam skala besar.

Disiarkan pada: June 30, 2020 @ 11:36am
d