global

Lelaki dakwa curi kabel biayai kos isteri bersalin

Oleh Agensi

MAKASAR: Seorang lelaki di Indonesia, nekad mencuri kabel di menara pencawang elektrik demi membiayai kos isterinya bersalin.

Suspek berusia 24 tahun itu aktif melakukan kegiatan itu di sekitar Makasar dan Maros sejak dua bulan lalu dengan menyamar sebagai petugas syarikat elektrik Indonesia, Perusahaan Listrik Negara (PLN).

Ketika ditahan polis Rabu lalu, Mail mengaku mencuri kabel itu selepas 'mendapat inspirasi' dengan rakannya yang terdahulu melakukan perbuatan sama.

Katanya, keadaan mendesak di tengah pandemik Covid-19 memaksanya memilih jalan salah itu bagi membiayai keperluan keluarganya.

"Saya mencuri kerana kebetulan isteri bakal bersalin.

"Saya mempelajari teknik itu daripada seorang rakan yang terlebih dulu ditahan polis.

"Saya mengajak dua rakan lain dengan menyewa kenderaan yang diubah suai mirip kenderaan petugas PLN," katanya.

Dia turut mengakui hasil curian itu dijual kepada pengumpul kabel dengan harga 50,000 rupiah (RM14.90) setiap kilogram.

Sementara itu, Ketua Sub Direktorat Polis Daerah Sulawesi Selatan Muh Arsyad mengesahkan, suspek dan rakannya terbabit 32 kes kecurian.

"Polis mencatatkan 200 kilogram jumlah kabel milik negara dicuri Mail dan rakannya dengan nilai kerugian berjumlah 31 juta Rupiah (RM9,245).

"Modus operandi mereka dengan menyamar sebagai petugas PLN. Justeru, orang awam tidak mengesyaki perbuatan mereka" katanya ketika dipetik portal Kompas.com.

Disiarkan pada: July 1, 2020 @ 6:35am
d