global

Penjara Covid-19

Oleh AFP

Los Angeles: Angka jangkitan Covid-19 semakin melonjak di salah satu penjara tertua California, di San Quentin.

Pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) mengumumkan pada Selasa, lebih 1,000 banduan di penjara itu disahkan positif virus.

"Ia menjadi kebimbangan dan fokus mendalam kita terhadap isu ini.

"Sebanyak 14 peratus daripada 3,500 banduan di San Quentin yang terletak berhampiran San Francisco disifatkan sebagai 'berisiko masalah kesihatan'," kata Gabenor Gavin Newsom.

Tidak seperti banduan penjara lain di California, Penjara Negeri San Quentin sebahagian besarnya terhindar risiko koronavirus sehingga awal bulan Jun.

Namun, proses pemindahan banduan yang terkesan dengan virus itu dari pusat tahanan di Chino mencetuskan penularan wabak itu.

"Malangnya, mereka tiba tanpa diuji dan ditempatkan di San Quentin dan menularkan wabak di fasiliti itu," kata Pengarah Kesihatan Daerah Marin, Matt Willis kepada stesen radio NPR.

Pusat tahanan di Chino berhampiran Los Angeles adalah 'lokasi panas' Covid-19 sejak mula wabak muncul.

Dilaporkan lebih 500 banduan di pusat tahanan itu diuji positif Covid-19 dengan tujuh daripada mereka maut.

Penjara San Quentin kini merekodkan separuh daripada jumlah kes Covid-19 yang direkodkan di penjara seluruh California.

Setakat ini, California merekodkan lebih 200,000 kes positif dan 6,000 angka kematian.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: July 1, 2020 @ 11:15am
    d