global

Lesen palsu: Eropah gantung operasi PIA

Oleh AFP

Karachi: Eropah menggantung operasi Pakistan International Airlines (PIA) di benua itu

selama enam bulan.

Ia selepas pendedahan media mengenai dakwaan lesen palsu dan meragukan juruterbang negara berkenaan.

Menurut Agensi Keselamatan Penerbangan Kesatuan Eropah (EASA), arahan itu turut merangkumi syarikat penerbangan swasta Pakistan yang lebih kecil.

Katanya, ia susulan penyelidikan dilakukan Parlimen Pakistan yang menemui sebahagian lesen dikeluarkan kepada juruterbang tidak sah.

"EASA bimbang kemampuan pihak berkuasa yang cekap dalam memastikan operator penerbangan Pakistan mematuhi piawaian antarabangsa setiap masa," katanya.

Penggantungan dari Kesatuan Eropah impak terbaharu bagi PIA.

Ia selepas Menteri Penerbangan Pakistan mendedahkan 262 daripada 860 juruterbang aktif Pakistan memiliki lesen tidak sah dan menipu ketika melakukan ujian.

Menurut jurucakap PIA, Abdullah Khan kepada AFP, EASA hilang kepercayaan kepada syarikat penerbangan itu.

"EASA memaklumkan mereka masih belum yakin juruterbang PIA yang lain memenuhi syarat kelayakan menerbangkan pesawat," katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri Pakistan Imran Khan berkata, beliau akan merombak semula pentadbiran PIA dan lembaga pengarahnya.

"Saya ingin memberi tahu rakyat saya; Kita tidak ada pilihan lain, perubahan tidak boleh dihindari," katanya pada Selasa.

Beberapa bulan kebelakangan ini, PIA hanya menerbangkan sebahagian kecil laluan antarabangsa berikutan pandemik Covid-19.

Mei lalu, pesawat penerbangan itu terbabit nahas di Karachi mengakibatkan 98 orang maut.

Berita berkaitan

Kapten 'lesen terbang'!

Disiarkan pada: July 1, 2020 @ 1:39pm
d