global

Individu pertama sudah ditahan!

Oleh Agensi

Hong Kong: Seorang lelaki di sini ditahan kerana memiliki bendera kemerdekaan Hong Kong.

AFP melaporkan ia adalah penahanan pertama mengikut Akta Keselamatan Negara yang baharu ditandatangani oleh Presiden China, Xi Jinping.

Sekali gus, ia membolehkan undang-undang berkenaan dikuatkuasakan termasuk di Hong Kong.

Polis Hong Kong berkata lelaki terbabit ditahan kerana memegang bendera berkenaan di Causeway Bay.

"Ia adalah penahanan pertama sejak undang-undang itu dikuatkuasakan," katanya.

Undang-undang kontroversi itu melarang empat jenis jenayah iaitu kegiatan subversif atau pemberontakan, pemisahan, keganasan dan campur tangan asing.

Selain itu, pesalah kes jenayah serius berkaitan keselamatan negara di Hong Kong boleh dihukum penjara seumur hidup.

Undang-undang kontroversi itu turut memberi kuasa untuk China menubuhkan sebuah badan keselamatan di Hong Kong.

China juga boleh mengambil alih pendakwaan kes termasuk kes serius seperti campur tangan dan membabitkan keamanan.

Selain itu, undang-undang berkenaan turut membenarkan kes tertentu dibicarakan secara tertutup.

Susulan itu, pelbagai pihak termasuk individu dan syarikat sudah mula memadamkan kenyataan yang menyokong kumpulan prodemokrasi di Internet.

Disiarkan pada: July 1, 2020 @ 2:15pm
d