global

Kanye West umum tanding pemilihan Presiden

Oleh AFP

Washington: Rapper terkenal, Kanye West mengumumkan secara rasmi untuk menjadi pencabar Donald Trump dalam pemilihan Presiden Amerika Syarikat (AS) 2020.

"Kita mesti sedar merealisasikan janji kepada rakyat Amerika dengan mempercayai Tuhan, menyatukan visi dan membina masa depan. Saya akan bertanding sebagai calon Presiden Amerika Syarikat! #2020VISION," ciapnya di Twitter.

Bagaimanapun, beliau tidak memperincikan butiran kempen yang hanya kira-kira empat bulan sebelum pemilihan rasmi pada November.

West sebelum ini menyatakan sokongannya kepada Trump sekali gus mengejutkan pemerhati industri.

Pada 2019, ketika satu temu bual dengan Zane Lowe menerusi program Apple Music's Beats 1, dia menyatakan sokongan kepada Trump dan hasratnya untuk bergelar Presiden AS.

"Akan tiba masanya apabila saya menjadi presiden, dan saya akan mengingatinya... setiap pemimpin yang tidak mempunyai kemampuan untuk memahami apa yang kita sedang lakukan," katanya.

Bagaimanapun, West tidak menyatakan siapa yang dimaksudkannya itu.

Pengumuman itu selepas beberapa hari beliau melancarkan lagu baharu 'Wash Us In the Blood' yang memaparkan protes anti-perkauman.

Disiarkan pada: July 5, 2020 @ 1:44pm
d