global

Kembar siam tertua dunia meninggal dunia

Oleh Agensi

Washington: Kembar siam tertua di dunia, Ronnie dan Donnie Gaylon meninggal pada usia 68 tahun di Hospital Dayton, Ohio, Sabtu lalu.

Sky News melaporkan pasangan yang bercantum pada pangkal paha hingga perut itu, meninggal dunia selepas menerima rawatan intensif di hospital berkenaan.

Keadaan kesihatan mereka dilaporkan sudah merosot sejak 10 tahun lalu.

Pasangan itu yang lahir di Beavercreek, Ohio, pada 25 Oktober 1951 itu diisytiharkan sebagai kembar siam tertua pada 2014.

Ia selepas kematian kembar siam dari China, Chang dan Eng Bunker, yang meninggal pada usia 63 tahun.

Media tempatan melaporkan ahli keluarga menempah keranda khas bagi memuatkan pasangan itu yang akan dikebumikan pada minggu depan.

Dalam pada itu, Daily Mirror melaporkan selepas dilahirkan, ibu bapa kembar itu, Eileen dan Wesley Gaylon menolak tawaran untuk memisahkan kembar berkenaan.

Ia memandangkan prosedur itu amat berisiko tinggi kerana mereka berkongsi organ pencernaan dan reproduksi.

Tiada jaminan dapat diberikan ke atas keselamatan kembar berkenaan sekiranya pembedahan itu tidak berjaya.

Sebelum itu, Ronnie dan Donnie pernah digabungkan dalam kumpulan persembahan King of The Sideshow Ward Hall dan mengikuti jelajah karnival World of Wonders.

Aksi mereka sangat sederhana dengan hanya duduk di depan televisyen dan pengunjung perlu membeli tiket untuk melihat mereka dari ruang tingkap.

Dalam kehidupan seharian, Ronnie dan Donnie bekerjasama untuk menyelesaikan tugas serta melakukan aktiviti bersama-sama.

Mereka dijaga adik lelakinya Jim sehingga menghembuskan nafas terakhir.

Namun, mereka tidak menerima pendidikan formal kerana pihak sekolah bimbang pasangan itu akan diganggu pelajar lain.

Sehingga akhir hayat, kembar ini tidak berkahwin dan berjanji akan tetap bersama walaupun sering bertengkar terutama ketika remaja.

Disiarkan pada: July 8, 2020 @ 12:03pm
d