global

Jepun bayar kelab malam supaya tutup operasi

Oleh AFP

Tokyo: Jepun merancang untuk 'membayar' pengusaha kelab malam supaya mereka dapat menghentikan operasi buat sementara waktu memandangkan jumlah kes baharu jangkitan Covid-19 terus meningkat.

Kebanyakan kes juga dikaitkan dengan kawasan kelab hiburan.

Di bawah pelan berkenaan, pihak berkuasa Tokyo akan memberikan 500,000 yen kepada pengusaha kelab malam atau lokasi acara lain, termasuk pelayan bar sekiranya mereka boleh menghentikan operasi selama 10 hari, lapor media tempatan.

Kebiasaannya bar menjadi pilihan ahli perniagaan menghiburkan pelanggan mereka.

Kaori Kohga, yang mewakili pelayan dan kelab tidak teruja dengan pengumuman berkenaan.

"Ia adalah langkah awal yang baik. Namun, 500,000 yen untuk setiap kelab tidak mencukupi.

"Duit itu mungkin akan dimiliki kelab, bukan pelayan. Saya bimbang kesannya tidak memadai," katanya.

Cadangan berkenaan muncul selepas berlakunya peningkatan kes baharu di Tokyo, khususnya kawasan hiburan dan komersial termasuk Shinjuku.

Sebanyak 224 kes baharu dicatatkan hari ini.

Disiarkan pada: July 9, 2020 @ 7:17pm
d