global

Roller-coaster normal baharu

Oleh Agensi

Tokyo: Diam dan jerit di dalam hatimu. Itu cabaran sebuah taman tema di Jepun, Fuji-Q Highland yang tidak membenarkan pengunjung yang menaiki roller-coaster menjerit bagi mengelak penularan Covid-19.

BBC melaporkan taman tema itu yang kembali dibuka akhir Jun lalu itu meminta penumpang yang menaiki roller-coaster untuk diam walaupun sebenarnya ia agak sukar.

Langkah itu diambil pihak pengurusan taman tema itu bagi meminimumkan penyebaran titisan udara yang boleh meningkatkan risiko jangkitan Covid-19.

Malah, pihak pengurusan juga meminta penumpang untuk berwajah serius ketika menaiki permainan itu.

Bagi merealisasikan cabaran itu, pengurusan mengadakan kempen cabaran #KeepASeriousFace.

Penumpang roller-coaster harus merakam gambar mereka berwajah serius dan memuat naik foto itu di media sosial dengan tanda pagar #KeepASeriousFace di ruang kapsyen.

Bagi penumpang roller-coaster yang menunjukkan wajah paling serius, mereka akan diberi ganjaran.

Disiarkan pada: July 11, 2020 @ 6:00am
d