global

Dagang bayi

Oleh Agensi

Jogjakarta: Seorang ibu tergamak menjual bayi lelakinya yang berusia dua bulan pada harga 6 juta rupiah (kira-kira RM1,775) di Facebook (FB).

Wanita berusia 24 tahun berasal dari Cilacap, Jawa Tengah itu bertindak sedemikian atas alasan tidak mampu membesarkan anak lelakinya itu.

Bayi itu kemudian dibeli oleh pihak kedua sebelum dia menjualnya kepada pihak ketiga pada harga tiga kali ganda.

Jurucakap Polis Jogjakarta berkata, siasatan awal menunjukkan si ibu menjual bayi itu kepada pihak kedua pada harga 6 juta rupiah (RM1,775).

Beliau berkata, pihak berkenaan kemudian turut mengiklankan bayi itu di FB sebelum ada individu berminat untuk membeli bayi berkenaan.

Katanya, pihak ketiga iaitu individu berusia 30 tahun itu bersetuju membeli bayi itu pada harga 20 juta Rupiah (RM5,904).

"Selepas mencapai kata sepakat, kedua-dua pihak bersetuju untuk bertemu di Jalan Kusumanegara, Jogjakarta pada 8.30 malam, 12 Mei lalu," katanya.

Pada pertemuan itu, katanya, pembeli terbabit memberi alasan mahu meminjam bayi berkenaan untuk ditunjukkan kepada ibu bapanya.

Bagaimanapun, drama tercetus apabila individu berkenaan bertindak melarikan bayi itu.

"Dijadikan cerita, pihak kedua menemui individu terbabit bersama bayi itu di depan sebuah hospital.

"Di situ, tercetus kekecohan sehingga menarik perhatian pengawal keselamatan," katanya.

Menurutnya, pengawal terbabit kemudian menghubungi polis.

"Maka, terbongkarlah rahsia penjualan bayi itu membabitkan si ibu, pihak kedua, dan pembeli yang juga pihak ketiga," katanya.

Susulan kejadian, polis menahan empat individu bagi menyiasat kes pemerdagangan bayi berkenaan.

Bayi itu pula diserahkan untuk dijaga oleh rumah kebajikan.

SUSPEK aktiviti penjualan bayi di FB. FOTO Agensi

Disiarkan pada: July 11, 2020 @ 7:59am
d