global

Pembunuh kejam 'mewah' selepas keluar penjara

Oleh Agensi

London: Pembunuh kejam yang memenggal kepala remaja lelaki di Australia dan dihantar pulang ke Britain mendiami hotel dengan perbelanjaan tanggungan pembayar cukai.

Christopher Clark Jones dan rakannya sudah dipenjara 15 tahun kerana menikam mangsa sebanyak 133 kali dan menjadikan kepala lelaki itu sebagai bola boling serta boneka.

Kini, dia yang berusia 36 tahun kembali ke Britain selepas dibebaskan secara bersyarat oleh pihak berkuasa Australia, bulan lalu.

Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Australia, Peter Dutton berkata, "sebagai warganegara United Kingdom (UK), dia (Jones) tidak layak tinggal di negara kami."

Di Britain, Jones ditempatkan di sebuah hotel yang berharga 100 pound (RM537) untuk satu malam dan diberikan wang untuk berbelanja.

Dia menghabiskan masanya dengan makan, menghisap rokok dan minum bir.

Namun, kehadiran lelaki itu menggusarkan penduduk dengan sumber berkata, Jones antara pembunuh paling dikenali di Australia yang sepatutnya menghabiskan hayat di belakang tirai besi.

"Tetapi dia kini hidup seperti lelaki bebas di London tanpa fikir apa-apa hal lain. Dia sangat terbuka bercerita mengenai kisah lalunya seperti tidak menyesal dan dia juga bongkak.

"Sungguh menakutkan apabila orang ramai perlu bergaul dengan lelaki ini tanpa mengetahui jenayah dilakukan sebelum ini," katanya kepada The Sun.

Pejabat Dalam Negeri pula berkata, "apabila seorang warganegara kembali ke UK selepas menjalani hukuman serius di luar negara, sudah tentu polis mengambil langkah sewajarnya untuk melindungi rakyat Britain."

Bagaimanapun, Polis Metropolitan berkata, pihaknya tidak membincangkan aspek perjanjian individu.

Disiarkan pada: July 12, 2020 @ 8:01am
d