global

9 mangsa pembunuhan beramai-ramai di Srebrenica dikebumikan

Oleh AFP

Bosnia Herzegovina: Umat Islam di sini, memperingati hari ulang tahun ke-25 pembunuhan beramai-ramai di Srebrenica semalam, kekejaman terburuk di Eropah sejak Perang Dunia II, dengan jumlah kehadiran ke upacara itu kurang dengan ketara akibat wabak koronavirus.

Kebanyakan yang hadir mematuhi sekatan yang ketat bagi membendung pandemik Covid-19, dengan upacara kemuncak adalah penyerahan mayat sembilan mangsa yang dikenal pasti sepanjang tahun lalu.

Pada 11 Julai 1995, selepas menawan Srebrenica, tentera Serbia membunuh lebih 8,000 lelaki dan kanak-kanak lelaki Islam dalam tempoh beberapa hari.

Sehad Hasanovic, 27, antara 3,000 waris yang hadir dalam upacara peringatan itu.

Dia mempunyai anak perempuan berusia dua tahun - usia yang sama ketika dia kehilangan ayahnya.

"Amat sukar apabila melihat seseorang memanggil ayah mereka, sedangkan anda tidak memilikinya," kata Hasanovic dalam tangisan.

Bapanya, Semso, "dibiarkan masuk ke dalam hutan dan tidak pernah kembali. Hanya beberapa tulang ditemui," katanya.

Seperti saudaranya Sefik dan ayahnya Sevko, Semso dibunuh apabila tentera Serbia diketuai Ratko Mladic memasuki wilayah Srebrenica sebelum melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap lelaki dan remaja Bosnia.

"Suami adik keempat turut terbunuh," kata Ifeta Hasanovic, 48, yang suaminya Hasib satu daripada mayat yang dikenal pasti sejak Julai 2019.

"Abang saya dibunuh, begitu juga anak saya. Ibu mentua saya hilang anak lelaki dan suaminya"

Sembilan mangsa itu dikebumikan di tanah perkuburan Memorial Genocide di Potocari, sebuah kampung berhampiran Srebrenica yang mana markas pasukan perlindungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ditempatkan.

Episod yang dilabel sebagai pembunuhan beramai-ramai oleh dua mahkamah antarabangsa - berlaku pada 1992 hingga 1995 antara Bosnia Croatia, Islam dan Serbia dan meragut 100,000 nyawa.

Setakat ini, hampir 6,900 mayat mangsa ditemui dan dikenal pasti dari lebih 80 kubur besar.

Disiarkan pada: July 12, 2020 @ 1:05pm
d