global

Gajah mati angkara beg plastik

Oleh Agensi

BANGKOK: Kematian terbaru seekor gajah akibat jangkitan usus disebabkan beg plastik menunjukkan kempen untuk mengurangkan beg plastik di negara itu seolah-olah tidak berjaya.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Varawut Silpa-archa berkata, pihaknya kesal dengan kematian gajah liar itu.

"Berapa banyak haiwan liar yang perlu mati untuk menyedarkan orang ramai," tulisnya di Facebook rasminya ketika menyampaikan kekesalannya susulan kematian gajah liar itu.

Pegawai hutan dari Jabatan Taman Negara, Hidupan Liar dan Pemuliharaan menemui seekor gajah jantan seberat 3.5 tan berusia lingkungan 20 tahun mati di belakang kampus Universiti Teknologi Rajamangala Tawan-ok di wilayah Chanthaburi.

Hasilnya, pegawai di jabatan itu menemui beg plastik dalam usus dan perut haiwan itu.

Siasatan awal mendapati gajah itu mati akibat jangkitan usus yang teruk dan ujian makmal lebih lanjut akan dilakukan untuk menentukan punca kematian.

Varawut kesal berikutan orang ramai seolah-olah memekakkan telinga dan masih menggunakan beg plastik hingga menyebabkan nyawa binatang liar di Thailand terancam.

Varawut mengatakan kekecewaan itu sebaik menerima laporan kematian gajah itu di Taman Nasional Khao Khitchakut.

Disiarkan pada: July 13, 2020 @ 7:30am
d