global

Remaja buka bank palsu

Oleh Agensi

NEW DELHI: Desakan hidup kerana tidak mendapat pekerjaan mendorong seorang remaja lelaki bertindak berani dengan membuka sendiri cawangan palsu sebuah bank utama di India.

Biarpun beroperasi tanpa lesen dan kebenaran, cawangan haram State Bank of India (SBI) di Panruti, Tamil Nadu itu sempat beroperasi selama tiga bulan.

Bagaimanapun, sepanjang tempoh berkenaan, tiada individu yang menjadi mangsa penipuan remaja berkenaan.

Gulf News melaporkan rahsia remaja berusia 19 tahun itu terbongkar selepas seorang pemegang akaun SBI mengesyaki sesuatu yang mencurigakan.

Dia kemudian melaporkan perkara itu kepada pihak SBI.

lndian News Channel melaporkan susulan laporan itu, polis menahan remaja terbabit bersama dua rakan kongsinya.

Seorang daripada rakan kongsinya berusia 52 adalah pemilik syarikat pembuatan cap getah manakala seorang lagi yang berusia 42 tahun adalah pemilik syarikat percetakan.

Difahamkan, bapa kepada remaja itu adalah kakitangan bank dan meninggal dunia 10 tahun lalu.

Ibunya juga pernah berkhidmat sebagai kakitangan bank, tetapi bersara sejak dua tahun lalu.

Disebabkan itu, remaja berkenaan dipercayai tekad membuka cawangan bank palsu SBI.

Apa yang menariknya, reka bentuk dalam bank itu serupa dengan cawangan bank berkenaan.

Disiarkan pada: July 14, 2020 @ 7:45am
d