global

Lambang Kristian di Hagia Sophia dikekalkan

Oleh AFP

ISTANBUL: Hagia Sophia akan dibuka kepada pelawat di luar waktu solat dan lambang Kristian akan dikekalkan.

Status mercu tanda Istanbul itu yang sebelum ini dijadikan muzium diubah pada Jumaat lalu dan kini diuruskan pihak berkuasa agama, Diyanet.

Keputusan berkenaan mengundang reaksi kurang senang dari kerajaan Barat, Rusia dan pemimpin Kristian dengan Pope Francis menyatakan ia 'terlalu kecewa'.

Hagia Sophia berfungsi sebagai katedral selama hampir 1,000 tahun sebelum dijadikan masjid pada 1453 dan kemudiannya muzium.

Diyanet dalam kenyataan berkata, lambang Kristian di Hagia Sophia disifatkan sebagai 'bukan halangan ke atas syarat sah solat'.

"Lambang itu akan ditutup dengan cara yang sepatutnya pada waktu solat.

"Tiada juga halangan daripada pandangan agama untuk Masjid Hagia Sophia dibuka kepada pelawat di luar waktu solat," katanya.

Hagia Sophia, tarikan utama pelancong, menjadi lokasi pelbagai aktiviti berkaitan Islam sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Pada 2018, Presiden Recep Tayyip Erdogan membacakan sepotong ayat Quran di bangunan itu.

Erdogan berkata, solat pertama di Hagia Sophia akan dilaksanakan pada 24 Julai nanti dan menegaskan bahawa bangunan itu tetap dibuka kepada semua pelawat, termasuk bukan Muslim.

Disiarkan pada: July 14, 2020 @ 8:51pm
d